Bahasa Melayu Karangan (Bahagian C)

Teks : Irsyad Khir

Soalan:
Internet memberikan banyak impak yang positif dalam kehidupan manusia. Tulis karangan tentang kebaikan internet kepada manusia. Tulis karangan kamu itu selengkapnya.









Penggunaan Internet di Malaysia semakin meluas pada zaman moden ini. Tanpa Internet, kehidupan harian manusia boleh terjejas. Sememangnya Internet memberikan banyak kebaikan kepada manusia.
              
     Antara kebaikan Internet ialah kita dapat menambahkan pengetahuan. Sebagai contohnya, kita dapat meningkatkan pengetahuan tentang isu-isu semasa melalui berita yang disiarkan dalam Internet. Sebagai kesannya, pemikiran kita bertambah matang.
     
      Selain itu, kita dapat meningkatkan perbendaharaan kata melalui Internet. Sebagai contohnya, kita dapat mempelajari perbendaharaan kata yang baharu sekiranya kita membaca karangan contoh yang disiarkan dalam blog Guru Cemerlang Bahasa Melayu. Oleh hal yang demikian, kita dapat mengaplikasikan perkataan tersebut dalam peperiksaan untuk memperoleh markah yang cemerlang.

        Di samping itu, kita dapat mengisi masa lapang secara berfaedah. Sebagai contohnya, kita dapat membuat latih tubi Matematik melalui talian pada hujung minggu. Oleh itu, kita dapat mengelakkan diri daripada terlibat dalam masalah sosial yang tidak sihat.

        Akhir sekali, seseorang dapat menjanakan pendapatan melalui Internet. Sebagai contohnya, kita dapat menjual pelbagai jenis barangan seperti baju dan kasut melalui Facebook. Sebagai kesannya, tingkat pendapatan dan taraf hidup seseorang meningkat.

       Sebagai kesimpulannya, Internet memberikan banyak kesan positif kepada kehidupan manusia. Namun begitu, Internet mestilah dimanfaatkan dengan cara yang betul kerana Internet juga mendatangkan banyak keburukan sekiranya disalahgunakan.